Friday 11 September 2015

Saad bin Muaz 'Bergegarnya Arasy Itu Kerananya!' [Episod 2]


Baginda saw bertanya lagi kepada para sahabat.

"Apa pendapat kalian?"

Tidak lama kemudian, Saad bin Muaz pun menjawab, 

jzkk!

"Wahai Rasulullah, jawapan kami kah (Ansar) yang engkau inginkan?  
Demi Allah yang telah mengutuskan engkau untuk membawa kebenaran! Sekiranya engkau menghadapkan kami ke lautan lalu engkau terjun ke dalamnya, kami pasti akan terjun bersama. Tiada seorang pun yang akan mundur dan kami tidak akan keberatan untuk menghadapi musuh esok pagi. Sungguh, kami tabah dalam pertempuran dan teguh menghadapi perjuangan. Semoga Allah memperlihatkan kepada engkau ya Rasulullah saw, tindakan kami yang menyenangkan hatimu. Oleh itu, marilah kita berangkat dengan izin Allah swt. "

Kemudian Miqdad RA menyambung, 

"Demi Allah, kami tidak akan mengatakan seperti apa yang dikatakan oleh kaum Bani Israel, pengikut Nabi Musa,


فَاذْهَبْ أَنْتَ وَرَبُّكَ فَقَاتِلا إِنَّا هَاهُنَا قَاعِدُونَ 
“Pergilah engkau bersama Rabb (Tuhan)mu, berperanglah, sesungguhnya kami di sini duduk-duduk saja.”   
Surah al-Maidah: 24  
Kami akan mengatakan pergilah engkau bersama Allah swt, dan berperanglah, sesungguhnya kami mengikuti!"

Mendengarkan kata kata Saad bin Muaz, Rasulullah  menjadi begitu gembira dan bangga lantas bersabda kepada kaum muslimin,

"Marilah kita berangkat dan besarkanlah hati kalian kerana Allah telah menjanjikan kepadaku salah satu daripada dua golongan! Demi Allah, aku seolah olah melihat kehancuran orang itu."

Lihatlah betapa bersemangatnya dan teguhnya keyakinan yang ada pada Saad bin Muaz sehingga mampu membangkitkan iltizam dalam diri setiap kaum muslimin ketika itu, termasuk Rasulullah saw sendiri untuk berjuang di jalan Allah swt. Malah ketaatan dan kesetiaan beliau kepada Rasulullah saw juga begitu mengagumkan. 

Alhamdulillah, para pejuang Islam di bawah pimpinan Rasulullah saw berjaya memenangi peperangan Badar, berkat keyakinan  setiap daripada tentera Islam ketika itu, dibantu dengan pertolongan Allah swt.

Sewaktu Perang Uhud pula, ketika kaum muslimin telah berpecah belah disebabkan serangan mendadak daripada tentera musyrikin  di bawah pimpinan Khalid bin al-Walid, Saad bin Muaz antara sebilangan kecil yang bertahan dan berjuang dalam medan peperangan ini. Beliau juga merupakan sebahagian sahabat yang setia mempertahankan Rasulullah saw dalam peperangan itu sehingga ke akhirnya.

Allahu Akbar! 

Ternyata, semangat jihad yang dipamerkan Saad bin Muaz tetap konsisten dan tidak mudah terpadam begitu sahaja. Kita juga harus mencontohi semangat beliau. Bagaimana?

Ya! Dengan terus konsisten dalam berjihad melawan nafsu dan bisikan syaitan yang sentiasa menyuruh kita ke arah kezaliman. Seperti mana Saad bin Muaz yang tetap gigih berjuang di medan peperangan mempertahankan Islam, begitulah yang kita harus lakukan dalam menghadapi medan peperangan untuk mempertahankan Islam dalam diri kita. Bila sudah tertegak Islam dalam diri kita, barulah kita dapat berjuang menegakkan Islam di sekeliling kita, in shaa Allah.

***

Dalam peristiwa Perang Khandaq atau Perang Ahzab, kota Madinah telah dikepung oleh sekutu-sekutu kafir Quraisy yaang terdiri daripada orang Quraisy dan suku Arab yang terbesar ketika itu, iaitu kabilah Gathfan. Mereka turut berpakat dengan orang Yahudi dalam kota Madinah itu sendiri.

Parit telah dibina sekeliling Madinah hasil idea  Salman al-Farisi, salah seorang sahabat Rasulullah saw. Untuk menghadapi ancaman daripada kaum Yahudi pula, Rasulullah telah mengutus Saad bin Muadz dan Saad bin Ubadah untuk berunding dengan Bani Yahudi Quraizah yang diwakili ketuanya, Ka'ab bin Asad. Sementelahan pula mereka mempunyai perjanjian damai dengan Rasulullah seperti yang termaktub dalam Piagam Madinah. Namun, keputusannya hampa apabila mereka mengatakan mereka tidak pernah membuat perjanjian dengan Rasulullah saw.

***

Sewaktu peperangan, terjadi satu peristiwa menyayat hati yang telah menimpa Saad bin Muaz. Lengannya telah  disambar oleh anak panah, tepat mengenai urat nadinya, yang telah dilepaskan oleh seorang musyrik mengakibatkan luka yang parah. Darah yang deras mengalir dari tangannya menyebabkan beliau terpaksa dirawat dengan segera untuk menghentikan pendarahan. Rasulullah saw memerintahkan agar Saad dibawa ke masjid dan didirikan khemah untuknya agar Saad sentiasa berdekatan dengan Rasulullah saw sepanjang rawatan. 

Lihatlah betapa penyayangnya Rasulullah saw dengan sahabat sahabatnya!

Dalam keadaan sedemikian Saad tetap berdoa kepada Allah, 

“Ya Allah, jika dari peperangan dengan Quraisy ini masih ada yang Engkau sisakan, maka panjangkanlah umurku untuk menghadapinya, kerana tidak ada golongan yang ingin aku hadapi, lebih daripada kaum yang telah menganiaya, mendustakan, dan mengusir Rasul-Mu. Dan seandainya Engkau telah mengakhiri perang antara kami dengan mereka, jadikanlah kiranya musibah yang telah menimpaku ini sebagai jalan untuk menemui syahid. Janganlah aku dimatikan sebelum tercapainya sesuatu yang memuaskan hatiku dengan bani Quraizah”.

Akhirnya, orang Quraisy terpaksa pulang ke Mekah dengan rasa hampa selepas kepungan yang dilakukan gagal akibat rasa putus asa, gelisah dan juga dengan pertolongan Allah swt. Pun begitu, pengkhianatan yang dilakukan oleh Bani Quraizah tidak boleh didiamkan begitu sahaja kerana ini boleh mengundang bahaya kerana mereka boleh sekali lagi berlaku khianat kepada Madinah dan juga muslimin seluruhnya. Rasulullah saw lantas menyuruh sahabatnya mengepung Bani Quraizah. Setelah beberapa minggu, mereka menyerah. Hasil perbincangan antara kaum muslimin dan Bani Quraizah, akhirnya mereka setuju untuk menyerahkan keputusan kepada Saad bin Muaz. Tambahan pula, Saad bin Muaz merupakan sekutu bani Quraizah sewaktu zaman jahiliyah dahulu. Ternyata doa Saad bin Muaz agar urusannya dengan Bani Quraizah selesai sebelum belliau meninggal dunia telah dikabulkan Allah swt.

Rasulullah saw pun mengutuskan beberapa sahabat untuk menjemput Saad bin Muaz dari khemah rawatannya. Sesampainya beliau di sana, Rasulullah saw pun berkata,

"Wahai Saad! Berilah keputusanmu terhadap bani Quraizah."

Saad lantas berkata,

"Menurut pertimbanganku, orang yang ikut berperang antara mereka haruslah dibunuh, anak anak dan kaum wanita hendaklah diambil sebagai tawanan dan harta mereka pula handaklah dibahagi bahagi"

Rasulullah saw kemudian bersabda,

"Sesungguhnya kamu telah memberikan pertimbangan yang sama dengan pertimbangan Allah swt"

Ternyata, sifat keadilan dan tegas dalam diri Saad bin Muaz seharusnya menjadi tauladan buat kita semua, terutamanya buat kita yang bergelar pemimpin, baik kepada orang lain, atau setidaknya, kita bergelar pemimpin kepada diri sendiri. Tanpa unsur berat sebelah mahupun dendam, pertimbangan yang dilakukan sangatlah wajar dengan apa yang telah dilakukan oleh kaum Yahudi bani Quraizah itu. Berusahalah menjadi adil dan tegas dalam membuat keputusan. 

Bertindaklah rasional, bukan dengan emosional. 

***

Semakin hari, luka yang dideritai Saad bin Muaz menjadi semakin parah. Di saat-saat terakhir kehidupan Saad, Rasulullah saw mengunjunginya, lalu baginda meletakkan kepala Saad di pangkuan beliau sambil bersabda, 

“Ya Allah, Saad telah berjihad di jalan-Mu, membenarkan Rasul-Mu, dan telah memenuhi kewajipannya. Maka terimalah rohnya dengan sebaik-baiknya cara Engkau menerima roh”.

Doa yang dipanjatkan Nabi rupanya telah  mendatangkan kedamaian dan ketenangan kepada ruh Saad yang hendak pergi. Saat itu, Saad mencuba dengan susah payah untuk membuka kelopak matanya dan memandang ke wajah Rasulullah saw yang sangat beliau cintai, kiranya inilah perjumpaan terakhirnya dengan baginda di dunia ini. 

Saad mengatakan, 

“Salam atasmu wahai Rasulullah, ketahuilah bahawa aku beriman bahawa engkau adalah utusan Allah”.

Rasulullah menjawab, 

“Kebahagiaan atasmu wahai Abu Amr”.

Saad bin Muaz ra pun menghembuskan nafas terakhirnya, di pangkuan manusia yang paling beliau cintai, Rasulullah saw. Dia wafat pada tahun 5 H, ketika itu beliau berusia 37 tahun, dan dimakamkan di pemakaman Baqi di Madinah.

Abu Sa’id al-Khudri pernah berkata, 

“Aku adalah salah seorang yang menggali makam untuk Saad, dan setiap kami menggali satu lapisan tanah, tercium oleh kami haruman kasturi”.

Biarpun hidupnya dengan Islam singkat, namun pemergian beliau begitu dirasai. Malah, Rasulullah saw bersabda,

اهتز عرش الرحمن لموت سعد بن معاذ 
 “Arasy Allah Ar-Rahman bergegar dengan kematian Saad bin Muadz.” 

(HR. Bukhari dan Muslim)

Biarpun selepas pemergiannya, nama beliau masih lagi disebut sebut Rasulullah saw. Diriwayatkan dalam sebuah hadis, Rasulullah saw pernah dihadiahkan sutera yang halus lagi lembut tenunannya. Saat para sahabat memuji muji kehalusan tenunan sutera itu, Rasulullah saw bersabda,

والذي نفس محمد بيده، لمناديل سعد بن معاذ في الجنة أحسن من هذا 
 “Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sungguh sapu tangan Saad bin Muadz di syurga, lebih baik daripada ini.”

Subhanallah!

*** 

Ketahuilah teman,  

Sesungguhnya erti hidup itu bukan pada masa.

Bukan juga pada harta.

Bukan juga pada pangkat.

Bukan juga pada jodoh, perkahwinan, pasangan, mahupun keturunan.

Apatah lagi pada duniawi yang yang lain.

Tetapi, erti hidup adalah pada memberi.

Indahnya Islam, kita bisa memberi kepada Pencipta kita,

Jiwa dan seluruh hidup kita.

Dan pastinya dia membalasnya, dengan sebaik baik pemberian di dunia ini.

Juga di sana nanti.



Rujukan: kisahmuslim.com
                100 Tokoh Dalam Dakapan Rasulullah SAW
                 Hepi Andi Bostani


a la carte: Alhamdulillah, dapat juga menghabiskan sambungan kisah Saad bin Muaz kali ini setelah tiga bulan berlalu. Maaf sangat sangat. Setiap kisah sahabat ada iktibarnya sendiri. Ada ujiannya sendiri. Yang pastinya, mereka menyentuh hati kita dengan cerita hidup mereka yang tersendiri. Dan, jalan mereka mencapai reda Allah juga tersendiri. Masihkah kita punya alasan dalam mencari Islam yang hakiki? Atau, kita masih mahu menyendiri dan lari daripada realiti hidup sendiri?


Ditulis oleh

i.j.


No comments: